DOAKAN AKU
kucari hatiku
di sebalik longgokan fail
kutemui seutas tali
mengikat tanganku ke kaki meja
kucari solatku
di sebalik sejadah di tingkat dua
ayat-ayat yang kutemui
patah dan tidak menyusupi jantung
kucari masa depanku
di sekeping tanah 12 ekar
hanya cercip beburung yang kenyang
dan senyum sepasang kelamin
yang persis tuan tanah
tembikainya berkoyan-koyan
peria dan mentimun diangkut hilux!
ah, doakan aku wahai unggas!
ABM FAJEER,
Surau, Wisma Perbandaran, Sandakan

BANTOI
Dia dihantar ketika kekuatan
Berpihak kepadanya
Tidak pernah dia mendepang dadanya
Namun aku yang faham
Sentiasa terfikir bagaimana
Jika dia memanfaatkan
Segala otot dari kepentingannya
Ketika cuaca berubah
Dan kami menerima orang baru
Sekadar menambah tenaga
Tapi cepat menyibar kekuatan
Sekadar memetik perkataan
Bantoi masih melonggarkan
Tali tolak ansurnya
Bukan kerana kehilangan suara
Hanya memang begitu dia!
Aku mengabadikan kenangan
Walau aku tidak pernah
Dimanfaatkan kehadirannya
Hanya kerana ia teladan ke hari ini
Yang tidak berulang.
ABM FAJEER,
Wisma Perbandaran, Sandakan
Dicatatkan pada 12:00 am oleh ABM Fajeer