ULAR ADA DI MANA-MANA

Aku cuba mendekatkan hidungku ke arah hidung Lina. Memang terasa panas nafasnya mengghairahkan. Tiba-tiba muncul wajah Guru Tua di pandanganku.
Oleh: ABM Fajeer, Warisan, Sandakan

Aku melihat jam dinding. Pukul 4.47 petang. Bererti sudah tujuh belas minit kami melintasi masa pulang. Beginilah kami sekali-sekala. Menghabiskan kerja yang perlu diselesaikan atas desakan waktu. Aku memang berasa bertuah mempunyai pembantu yang tidak berkira dalam menyelesaikan kerja.
Angelina namanya. Kami di tempat kerja ini biasa memanggilnya Lina. Dengan rambutnya yang diikat ke belakang dan kaca mata yang agak besar dan bulat, dia persis guruku yang mengajar Literature di Tingkatan Dua, Miss Glowacki.
“Saya balik dulu,” katanya setelah mengambil surat-surat yang kutanda tangani dari dulang surat keluar di mejaku.
“You balik dengan apa?” Tanyaku. Biasanya dia balik dengan menumpang rakan sekerja. Tapi waktu begini rakannya sudah pun balik. Sebenarnya soalanku itu memang agak rutin. Setiap kali kami lambat pulang, begitulah soalan yang kuajukan. Dan jawapannya pun tetap yang sama juga.
“Saya naik baslah.”
“Tumpang sayalah,” aku mempelawa. Dia mengangguk lantas keluar dari bilikku sambil menutup pintu bilikku. Aku biasa membuka pintu bilikku dengan meletakkan penahan pintu apabila Lina agak lama di bilikku untuk mengelakkan fitnah. Apatah lagi selepas masa kerja begini. Apabila dia menumpang keretaku, aku menurunkannya di Batu Empat tempat suaminya menanti.
Semasa aku mengemaskan beg bimbitku dan memastikan tidak ada benda yang tertinggal aku terdengar bunyi pintu dikunci. Pastinya Lina sudah keluar dan akan menunggu aku di kawasan letak kereta. Pejabatku ini agak luar biasa. Bilik ini sendiri mempunyai pintu belakang. Ini memudahkan aku keluar tanpa menggunakan pintu hadapan dan langsung ke kawasan letak kereta.
 |
Sebaik aku selesai berkemas dan baru mula hendak melangkah meninggalkan pejabat, aku terdengar pintu hadapan di buka semula. Sejurus kemudian Lina sudah terpacak di hadapanku tercungap-cungap.
“U...ular!” Katanya masih tercungap-cungap.
“Di mana?” Tanyaku.
“Di luar sana….depan… di luar pintu besar!” kata-katanya terputus-putus.
Aku memandang wajahnya. Jelas dia panik.
“Ular? Saya pergi tengok.”
“Jangan!”
“Saya tengok dari dalam saja,” jelasku sambil keluar dari bilikku. Dari pintu bilik Lina yang separuh kaca itu aku melihat keluar. Tidak ada apa-apa yang menyangsikan. Aku pun keluar berjalan di laluan di antara bilik mesyuarat di sebelah kiri dan bilik-bilik pegawai lain di sebelah kanan. |
Sampai di pintu luar aku cuba menjenguk ke luar. Aku terkejut apabila kulihat di depan tangga kelihatan seekor ular yang berlingkar. Kalau didepangkan, kukira panjangnya mungkin enam ke tujuh kaki. Memang menakjubkan. Bagaimana reptilia itu boleh berada di pejabat!
Spontan aku menarik nafas. Aku kembali ke pejabat. Biarlah. Perkara ular itu boleh diurus kemudian. Yang penting aku keluar dulu dari pejabatku dari pintu belakang. Aku sudah bercadang untuk menunaikan solat asarku di Masjid Nurul Hikmah dalam perjalanan pulang. Biarlah suami Lina mengambilnya di kawasan masjid.
“Betulkan?” Tanya Lina.
“Iya, tapi tak apalah,” jawabku. “Kita keluar dari pintu belakang. Itulah kelebihan ofis saya.” Aku sempat bergurau.
Setelah gembok untuk menutup pintu belakang pejabat berada di tanganku dan beg bimbitku tergantung di bahuku, aku pun membuka pintu untuk keluar. Sebaik aku membuka pintu, aku terkejut kerana di atas tangga di luar pejabatku reptilia yang sama sedang berlingkar. Aku dengan spontan menutup pintu sehingga bunyi hentakan pintu itu menjadikan Lina terkejut.
Aku merenung wajahnya. Pertama kali aku merenung sedemikian. Dalam suasana yang agak gawat begitu, dapatku hanyati wajah Lina. Memang dia manis, kalau pun tak secantik bintang filem.
“Kenapa?” Tanyanya.
“Ular!” Jawabku
“Aaa, ular lagi?” Lina seperti menangis.
Tiba-tiba lampu padam.
“Oh my God.” Lina mengeluh.
Aku menuju ke arah tingkap dan menyingkap hujung tabir jendela untuk mendapatkan sedikit cahaya. Bilik itu tidaklah gelap sangat.
“Okay, saya call Imran. Dia belum balik lagi,” kataku sambil mengangkat gagang telefon.
“Mana boleh. Black out.” Lina mengingatkan aku.
Aku meletakkan gagang telefon agak kasar. Kuakui itu. Kesal kerana pejabat menggunkan sistem telefon yang bergantung kepada bekalan elektrik.
Aku mengeluarkan telefon bimbitku dari saku seluar. Kulihat ia padam lalu kuhidupkan. Sebaik nombor kod kugunakan dan lampunya menyala, terdengar pula nada yang tidak menyenangkan dan terpapar perkatan battery low dan set itu padam semula.
“Macam manalah kita ni.” Suara Lina seperti suara orang menangis.
Aku duduk di kerusi ekskutifku. Tersandar. Lina terus duduk di kerusi menghadap aku. Aku berfikir Aku perlu bertenang dan memberikan keyakinan kepada Lina yang keadaan tidaklah gawat. Aku mulai terasa lapar. Memang aku jarang sekali makan tengah hari. Pulang ke rumah, ketika waktu minum teh, baru aku makan nasi. Pada waktu malam tak perlu lagi makan kecuali makanan amit. Sesekali diajak oleh ADUN Sekong makan kueh pau di Restoran Khadijah sambil berbincang tentang rakyat di kawasannya.
Aku mengeluarkan tin biskut dari laci meja. Kubuka tin itu lantas menghulurkannya ke arah Lina. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.
Selepas biskut sekeping itu kukunyah habis, aku menuang air di jag ke gelas yang sedia ada. Kumimum air itu.
“Ala, macam mana ni. Saya mahu cepat. Husband saya tunggu.,” Lina separuh mengeluh, separuh mengarah aku.
“Saya juga mahu cepat. Saya belum sembahyang asar!” Aku meyakinkan dia.
Aku menoleh ke belakang dan menyelak tabir di belakangku itu. Lina bangun dan menyelak pula tabir yang sebahagian lagi. Tiba-tiba muncul seekor ular lagi dan menghambat kepalanya ke jendela kaca itu. Kuat bunyinya. Aku tersentak dan tendengar pula jeritan Lina. Apabila kumenoleh ke arahnya, kudapati dia tidak lagi berdiri tegak. Dia pengsan.
Aku segera menyambut tubuhnya yang sudah lesu itu. Dia jatuh ke atas tanganku. Aku lantas memegangnya dengan kedua-dua tanganku dan mengheret dia ke sofa yang tak berapa jauh itu. Aku letakkan kepalanya dulu. Kemudian ku naikkan kedua-dua kakinya ke atas sofa itu.
Aku menjangkau sebuah kerusi di tepi meja tulisku lantas kuhalakan menghadap sofa itu.
Skirt Lina terselak ke paras atas lutut. Aku menghalakan pandangan ke wajahnya. Memang manis walau sudah beranak dua. Bukan aku saja menyayanginya. Isteriku jua. Malah anak-anakku juga. Mereka menggelarnya “Auntie Lina.”
Jadi kenapa kalau anak-anakku memanggilnya auntie! Hatiku berkata. Aku mendekati wajahnya.
Aku teringat yang kira-kira lima belas tahun lalu muncul seorang kawan semasa kecil dulu secara tiba-tiba yang telah menjadi dukun. Memang aku tak berapa rapat sangat dengannya, tapi kerana kami tinggal sekongsi dan pertemuan itu menimbulkan nostalgia, kulayannya sepanjang pagi itu. Malah Lina memberi ia secawan kopi. Dalam perbualan kami itu diajarnya aku bagaimana menjadikan seseorang wanita gila bayang. Caranya hanya dengan menyedut nafas wanita itu sambil membaca salawat yang sebelum itu tak pernah kudengar.
Aku tidak tertarik kepada benda-benda seperti itu. Apatah lagi apabila aku pulang isteriku menceritakan yang anakku memberi tahunya tentang kawan lamaku itu. Dia dukun, tapi tak sembahyang. Adu anakku kepada mamanya.
Tapi bagaimana kalau aku mencuba? Tak jadi pun tak apa. Bukan rugi. Kalau menjadi, nah, siksa si dayang ani! Suara hatiku mengajak aku membuat eksperimen. Iya, sekadar eksperimen.
Aku cuba mendekatkan hidungku ke arah hidung si Lina. Memang terasa panas nafasnya yang mengghairahkan. Tiba-tiba muncul wajah Guru Tua di pandanganku. Aku teringat pesanannya kepada aku dan Hj Ibrahim dalam pertemuan kami terakhir sebelum dia ke Semenanjung dan menghembuskan nafasnya yang terakhir.
“Fadhil, saya mahu kamu jadi ketua belia jemaah kita. Teruskan apa yang telah kamu usahakan. Tarikat kita bukan sekadar mengamalkan zikir-zikir yang kamu pelajari. Ilmu itu tidak ada batasan. Buatlah apa saja. Taklim. Risalah. Kuiz. Sastera. Tak salah. Ah, Ibrahim, kamu teruskan membimbing jemaah kita. Jangan bergantung sangat kepada Ustaz Lukman.”
Aku masih teringat bagaimana Hj. Ibrahim mengangguk-angguk. Kami tahu Guru Tua merajuk kepada Ustaz Hj Lukman. Dia yang diharapkan untuk membimbing jemaah dalam ketiadaan beliau, tapi dia terlalu sibuk mengurus majlis-majlis yang ada imbuhan!
Aku menoleh ke wajah Lina. Bibirnya agak tebal daripada bibir isteriku. Aku kepingin mengucup bibir yang tebal itu. Teringat isteriku, aku lantas berdiri dari kerusi. Kemudian duduk semula tersandar.
Aku terdengar suatu hentakan pada jendela kaca bilikku. Aku terkejut apabila kepala seekor ular persis terpegun memandang aku. Mungkin dia sekian lama memerhati gelagatku. Kulihat matanya merah. Apakah dia marah?
Aku berfikir. Nah, cuba kuteruskan eksperimenku lagi!
Aku pura-pura tidak melihat reptilia itu. Aku kembali mendekati Lina yang masih tersadai sambil mendekatkan wajahku ke mukanya; aku menjarakkan tangan kananku dan memerhati ular itu melalui ruang di bawah ketiakku. Ular itu perlahan-lahan menurunkan kepalanya dan meletakkannya di atas bahu jendela. Ia memerhatiku dengan tekun.
Aku bingkas. Sekali lagi kudengar hentakan seperti tadinya. Aku tak kisah itu. Ada fikiran nakal melintasi kepalaku. Aku duduk berlutut di atas lantai yang berkarpet itu. Kucuba menyingkap sedikit skirt Lina. Dengan cepat aku menoleh ke belakang dan mendapati ular itu sudah merayap naik pada cermin jendela itu. Nampak dia berasa seronok. Kami bertentang mata. Matanya merah. Aku naik takut lantas keluar ke bilik Lina.
Bilik Lina begitu wangi. Aku pula berasa seronok. Dalam keadaan yang kacau itu aku teringat juga bagaimana aku selalu mengingatkan isteriku dan anak gadisku bahawa agama melarang wanita memakai minyak wangi untuk khalayak ramai. Terbukti.Keadaan wangi di bilik Lina ini menimbulkan rasa berahi. Aku akui itu. Jika satu dunia bertanya, aku akan mengatakan aku memang berahi disebabkan kewangian ini. Bikin apa jadi hipokrit.
Aku beralih ke jendela di bilik Lina itu. Perlahan-lahan kusingkap tabir. Terkejut juga aku bahawa di luar itu pun ada seekor ular sedang memanjat cermin jendela. Aku hanya nampak badannya. Entah ular yang sama atau lain daripada yang di luar bilikku tadi.. Aku tidak melihat jam, namun daripada cahaya mentari yang menyelinap daripada celah tabir itu aku tahu waktu asar masih ada. Tiba-tiba aku terasa lapar lagi.
Aku menjenguk ke bawah meja Lina. Aku tahu di situ dia selalu meletakkan biskut. Tin biskut yang kucari tidak ada di situ. Sebaliknya ada satu bungkusan plastik. Kubuka bungkusan itu. Ada tiga biji kueh persis burger. Kujamah sebiji. Baru nak kumasukkan ke mulut aku terhenti. Di mana dibelinya kueh ini? Kuletakkan semula kueh itu ke tempat asalnya. Aku teringat sesuatu. Ketika orang ramai heboh tentang sosej dulu, kami sekeluarga tak kisah. Memang aku menjaga makanan kami dari dulu.
 |
Macam diaturkan, ada pula sesikat pisang di bawah meja itu. Ai, Lina pun suka pisang? Aku sudah menjamah sebiji pisang, apabila aku teringat kepada Imran, Setiausaha Jawatankuasa Dakwah kami. Hari itu dia mengadu dia mengantuk lalu ingin memesan secangkir Nescafe dari kantin. Cadang Lina kepada Imran, ambil saja sepaket kopi yang memang kusimpan di bilik Lina itu. Dia boleh bancuhkan. Imran menolak dengan alasan belum mendapat izinku. Teringatku itu aku meletakkan semula pisang si Lina! |
Aku kembali ke bilikku. Lina masih belum sedarkan diri. Aku duduk semula di kerusi berhadapan dengan Lina. Kasihan pula aku kepadanya. Mentari yang mulai turun memancarkan cahayanya ke dinding dan melantun pula cahaya itu ke wajahku. Aku mendongak melihat dinding dan terpandang kepada khat yang kami menangi sebagai kontinjen terbesar dalam Perayaan Maulidur Rasul 20 tahun lalu.
Aku bangkit dan menanggalkan khat itu dari dinding. Aku menuju ke arah jendela. Kusingkap tabir jendela dan kuarahkan cermin khat itu ke arah luar. Keadaan di luar bising. Kelihatan potongan-potongan ular bertempiaran di sana sini walaupun agak sukar kubuka mataku akibat cahaya yang memancar itu. Aku sempat melihat huruf roman di cermin khat itu. Surah Arrum: 10. Kututup mataku. Kubuka semula. Cahaya itu tak sehebat tadinya. Aku sedang berhadapan dengan komputerku membuat laporan tentang Pertukaran Penulis Sabah dan Sarawak baru-baru ini!
Kedengaran bunyi kuakan pintu. Aku menoleh ke belakang. Rupa-rupanya Mariam, pembantuku.
“Pukul berapa, Yam?” Tanyaku.
“Sepuluh minit lagi pukul dua,” katanya, yang juga adik iparku.
“Astagfirullah,” Sahutku. “Abang bermimpi,” sambungku.
“Mimpi?” Tanya Mariam seolah-olah kehairanan.
“Iya, abang mimpi ular. Dahsyat,” kataku sambil bangkit, teringat yang aku belum solat zohor.
“Ah, ular ada di mana-mana,” katanya sambil meletakkan beberapa fail di dulang fail di atas mejaku.
Aku tersentak lalu menoleh ke belakang memandang Mariam.
“Iya,” kataku. “Di dalam hati juga ada ular.”
Dia memandang aku sambil berkata, “ Kakak minta belikan Impulse.”
“Apa benda itu?” Tanyaku. Sudah gaharu cendana pula.
“Spray untuk wangikan badan,” katanya sambil tersenyum dan sambil mengangkat fail-fail dari dulang fail keluar..
Aku turut senyum sambil bergegas keluar untuk ke surau di Tingkat Dua.
(1752, Isnin, 18 April, 2005)
Siaran asal, sila rujuk di KEMSAS (Klik Sini).