ABMFajeerABMFajeerABMFajeerABMFajeerABMFajeerABMFajeerABMFajeerABMFajeerABMFajeerABMFaj
Pancaran fikrah seorang Utuh Zear
Taman Siber ABM Fajeer










Selayang Pandang
Mohd Fajeer Awang Besar
@ ABM Fajeer

Dilahirkan di Sri Lanka pada 30 Disember 1952. Mendapat pendidikan awal di SRK Berhala Darat dan Sekolah Menengah Sung Siew, Sandakan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke Maktab Sabah, Kota Kinabalu. Kini bertugas sebagai Timbalan Presiden I Majlis Perbandaran Sandakan setelah memegang jawatan Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan sejak diwujudkan pda tahun 1982.



Landas Kreatif
Puisi-puisi beliau tersiar di akhbar-akhbar tempatan dan antologi puisi seperti Gema Lembah Kinabalu, Nyanyi Dari Dewa, Siapakah Antara Kita (1988), Sewaktu Bertemu (1986), Rinduku Sebuah Nusa (1995), Tasbih Hayat (2001) dan Kita Kata Kota (2004). Antologi puisi persendirian berjudul Taufan diterbitkan oleh DBP Cawangan Sabah pada tahun 2004. Beliau juga memimpin Warna-Warni Seni Sandakan (Warisan) yang ditubuhkan pada tahun 1979. Pernah mendapat Hadiah Sastera Sabah yang diperkenalkan oleh Badan Bahasa Sabah (BAHASA) pada tahun 1973 bagi kategori puisi. ABM Fajeer telah dianugerahi Tokoh Sastera Sandakan Dekad 80-an pada tahun 1991 sempena Perayaan Dasawarsa Warisan. Pada tahun 2004 turut beliau menerima Anugerah Tokoh Penyair Islam Sabah ke-11. Menyusul pada tahun 2005 pula, beliau diberi penghormatan dengan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah.

Koleksi Catatan
Kembara Penulis 2005
Terkenang (Nuri Jaguh)
Terkenang (Instant Noodle!)
Tulislah Kerana Tuhanmu
Surat Yang Tidak Kubalas
Terkenang (Persuratan Tawau)
Terkenang (Kraken Wakes)


Karya Puisi
Kunang-Kunang dan Dragon Fly
Doakan Aku Bantoi
Hanyir, Kewajaran, Sebatang Duri
Hati Naga
Bahasa Cinta
Arusmu
Kuek-Kuek, Kuek-Kuek
Cuma II
Lautnya
Senja Seorang Nahkoda
Kepada Setandan Pisang
Cuma
Kupu-Kupu Yang Kunanti


Karya Cerpen
Jangan Nyanyikan Lagu Itu
Paparan Ekstra
Ular Ada Di Mana-Mana
Puisi Dari Mana?
Air Liur Meleleh



The Holy Koran
Enter Keyword (English):
based on
Hadith Collections
Enter Keyword (English):
based on



Web Counter



Teman-Teman
Hasyuda Abadi (Kreatif)
KeRin (Kembara Rindu)
Ony (Sumur Mahmudah)
Rem (Tanak Dusun)


Diskusi Pilihan
Diskusi alFikrah
Diskusi KEMSAS
Diskusi Sastera Sufi
Komposisi OnLine


Organisasi & Web Pilihan
Ikatan Penulis Sabah
Kerajaan Negeri Sabah
Majlis Perbandaran Sandakan
Sandakan (In & Around)
Laporan Cuaca Sandakan (Harian & Mingguan)


   




rss feed


Thursday, April 12, 2007
Ini Sebuah Medan Taufan

.....kerana hidup penuh dengan gelombang.

SELAMAT berkunjung ke taman siberku. Moga ia jadi medan percambahan fikir dan perkongsian ilmu. Seperti taufan yang culas dipacu angin deras; kita semua perlukan percikan fikrah untuk terus dinamik menongkah cabaran.


Dicatatkan pada 02:02 pm oleh ABM Fajeer
 

Sunday, January 28, 2007
Pertama Kali

 

Hari ini, 28 Jan. 2007, aku mencipta sejarah. Untuk pertama kalinya aku menggunakan kemudahan cybercafe. Ketika aku menaip ini, anakku, Nurul, berada di tepiku persis seorang guru yang mengajar kelas dewasa. Pandai dia "marah-marah" aku. Kami ke mari kerana aku nak lihat entri di Kemsas. Minggu lalu, aku sangat malang kerana kedua-dua komputer, di rumah dan di pejabat mogok lalu dihantar ke bengkel. Walhal aku punya ide untuk menulis cerpen berkenaan ular.Mudah-mudahan komputer di pejabat cepat pulih kerana berada di pusat internet ini adalah satu penyiksaan bagi seorang "datuk"  seperti aku. Kerana Kemsas aku menambah ilmu hari ini.


Dicatatkan pada 11:17 am oleh ABM Fajeer
Komen (2)  

Wednesday, January 24, 2007
ENGKAULAH TUHAN YANG MENEMPATKAN PERASAAN INI KE DALAM HATIKU

(Nota: Cerpen picisan ini terhasil atas cabaran seorang penulis wanita!)

Sudah dua malam Auntie dan sepupu-sepupuku berada di rumah kami. Mereka mengambil kesempatan cuti sekolah untuk menziarahi kami khususnya Mama yang satu-satunya saudara perempuan seibu sebapa dengan Auntie. Kerana ziarah mereka aku telah mengambil cuti seminggu.

Selama dua hari dua malam mereka duduk di rumah ini, aku banyak mengelak Auntie. Paling banyak kami berbual apabila bercerita tentang hal-hal kerja yang berkaitan dengan aku dan sepupu-sepupuku Naimah dan Nikmah itu.

Aku tidak bijak. Tetapi aku tidak juga dungu. Aku menyedari bagaimana perbualan dengan Auntie boleh menyimpang ke arah lain yang tidak sanggup kuhadapi. Aku pasti Mama juga menyedari perkara itu.

Jangan Autie perasaan bahawa dia saja yang mengambil berat tentang hidupku. Konon dia sajalah yang bimbang yang aku akan terus terlajak menjadi perawan tua. Mama juga perihatin. Namun Mama tidak pernah mendesak. Mama tidak pernah membebankan aku dengan persoalan yang jumud itu.

Bertanya juga aku dalam hati. Tujuan Auntie bukankah untuk menjenguk Mama. Kenapa tidak fokus ke situ saja, kenapa mencampuri hal peribadiku!

Iya, benar, Auntie perihatin. Tapi janganlah niatnya yang baik itu memberi tekanan terhadapku. Benar, aku memang tertekan apabila sesiapa juga membangkitkan persoalan jodoh terhadapku.

Tiga bulan lalu aku menyamhut hari lahirku yang ke empat puluh dua. Itulah julung kalinya dalam hidupku kurasai makna "menyambut". Bagaimana seorang pegawai kanan yang juga ketua persatuan kami mengadakan majlis hari lahir untukku secara mengejut. Ia dirancang dengan teratur. Masuk saja aku ke biliknya setelah aku mengetuk pintu, berderai lagu selamat hari jadi yang dinyanyikan oleh mereka yang telah sedia menyambut ketibaanku. Aku terasa lebih kekok dengan kehadiran isteri Encik Farid sendiri. Beliau sendiri yang mengagih-agihkan potongan kek setelah aku memotong kek itu tepat di tengah. Cuma yang tiada tiupan lilin. Aku memang biasa dengan isteri Encik Farid tetapi tidak seakrab Azizah, rakanku dalam persatuan yang diketuai oleh Encik Farid.

Kalau mencari makna kesederhanaan, cara hidup Encik Farid boleh ditakrifkan sederhana. Dia tidak taksub dengan sesuatu pegangan.Walau agak keras dalam hal hukum agama, dalam masa yang sama tidak menolak unsur-unsur hidup modern.

Ah,apa juga besarnya bandar ini untuk kubawa dua orang sepupuku melawat. Sehari pusing sudah selesai di jelajah satu bandar. Namun Encik Farid berjanji untuk membantu aku membawa Auntie dan anak-anaknya melawat ke kawasan luar bandar melihat kolam ikan tawar dan taman pemeliharaan binantang liar, satu-satunya usaha anak bumiputera. Aku tidak memberi persetujuan tetapi aku juga tidak menolak. Berhadapan dengan Encik Farid, sangat susah untuk mengatakan "tidak".

Tawarannya itu timbul apabila dalam mesyuarat persatuan kami aku menyatakan kepada rakanku Azizah bahawa aku bercuti untuk bersama-sama keluarga ibu yang datang dari Pedalaman; dan dia terdengar. Namun aku berasa bahawa tidaklah wajar aku mengambil kesempatan atas tawaran Encik Farid.. Biasa juga berlaku apa yang disebut ajak-ajak ayam!

Sehari sebelum aku bercuti, aku dipanggil ke bilik Encik Farid. Beliau mengesahkan tentang tawarannya itu. Hamidin dan Hj. Lukman, Setiausaha dan AJK persatuan kami ada bersama. Aku pasti mereka sedang berbincang tentang program Randau Sastera anjuran persatuan kami itu. Berada di hadapan mereka berdua aku tidak dapat menolak tawaran Encik Farid..

Memang di luar jangkaku apabila En.Farid datang dengan isterinya pagi itu. Aku, Rita dan Suzie duduk di belakang. Ada baiknya En. Farid membawa isterinya. Kalau tidak aku kena duduk di hadapan di samping En. Farid.

Memang jelas Rita dan Suzie begitu seronok sekali apatah lagi dengan kemesraan isteri En.Farid. Kami sempat kudapan di Batu 16 sebelum kami dihantar pulang.

Seharian itu tiada yang luar biasa berlaku. Aku terus berperam di bilik tidur melepaskan lelah. Sesekali teringat juga layanan baik isteri En. Farid. Teman-teman lelaki ada bercerita yang beliau beruntung kerana isterinya berpendirian terbuka. Apabila disebut "pendirian terbuka" aku meninggalkan perbualan.Dah masak aku dengan perbualan begitu.

Selepas solat asar aku turun ke ruang tamu. Auntie dan Mama sedang berbual sambil menonton vcd Cicakman.

"Mana Rita sama Suzie?" Tanyaku

"Ke kedai," jawab Auntie. Sederet kedai tiga pintu terletak tidak jauh dari situ..

"Seronok betul sepupumu berdua itu. Kali ini baru dapat melihat Sandakan yang sebenar." Tambah Auntie.

"Nasib baik saya pun dapat menumpang kenderaan," jawabku.

"Yang bawa kamu itu bosmu, kan?" Tanya Auntie.

"Bos juga, kawan dalam persatuan juga. Itu yang saya berani minta tolong." Aku menjelaskan.

"Tak apalah. Tapi kamu memang rapat, kan?. Kalau tidak mana kamu minta tolong dengan dia." Macam melarat sudah percakapan Auntie.

"Auntie, dalam persatuan, kami seperti adik beradik. Sudah lebih 20 tahun Auntie. Auntie tahu, dia sudah bercucu!" Aku menjelaskan dengan harapan agar tertutuplah apa juga provokasi yang bakal muncul.

"Auntie tahu itu. Tapi dia kahwin muda. Anak-anak dia pun begitu juga. Nah, cepatlah bercucu." Jawab Auntie.

Ada perasaan meluat kurasai. Trek perbualan Auntie dapat kukesani..

"Auntie datang jauh-jauh ini nak ngintip pegawai-pegawai kamikah?" Pertanyaanku persis mencabar wibawa Auntie.

"Tidaklah sampai mengintip. Memang dah tahu background dia dulu lagi."

"Wah, macam perisik pula Auntie," aku bergurau.

"Tak salah, demi kepentingan anak saudara sendiri. Betul tak. Kak?" Auntie melibatkan Mama pula.

Aku melihat Mama yang kurasa berpura-pura menonton tv. Tersenyum pula!

"Mana ada orang tua yang tidak kepingin melihat anaknya senang. Lagi-lagi anak perempuan!" Selamba saja Mama.

"Saya tidak tahu apa yang Auntie dan Mama cakapkan. Baik saya naik dulu ke kamar saya." Aku cuba mematikan isu yang sensitif kurasa itu.

"Nanti dulu. Auntie bukan selalu dapat datang ke sini. Kita bual-bual dulu," Auntie menyekat aku dari beredar.

"Umur Suzie sudah hampir 40. Auntie rasa umur kamu sudah tentu lebih 40. Sampai mana kamu mahu membujang?" Tanya Auntie.

Aku tersentak dengan persoalan yang dikemukakan itu yang lengkap dengan fakta perbandingan! . Aku terasa aku perlu berhadapan dengan Auntie secara agresif!

"Tak kan perigi mencari timba. Itu satu hal. Dia tu pula sudah beristeri. Auntie nak saya diterajang isterinya?" Puas aku dengan jawapanku itu!

"Ada orang cerita, isterinya pernah ingin menjodohkan dia dengan satu perempuan. Tak jadi. Itu tandanya isterinya berfikiran terbuka."

Aku terkejut juga dengan maklumat yang diperoleh Auntie itu.

"Auntie pun tahu, kau bukan tak biasa dengan isterinya, kan?" Lagi serangan provokasi.

Seumur hidupku inilah cabaran yang tak pernah kuhadapi. Aku mencuri pandang pada Mama. Jelas Mama kelihatan terhibur dengan provokasi Auntie terhadapku itu! Kini aku yakin adanya konspirasi Mama dan Auntie.Konspirasi!

"Auntie, baik saya naik dululah." Aku bangun untuk naik ke bilik tidur.

Aku terduduk di atas katil memandang cermin muka. Aku agak kebingungan juga. Nasib baik aku dapat mengawal diriku. Kalaulah aku tersalah cakap tadi!

"Macam mana kalau saya pinang kamu?" Begitu ayat yang terluah dari mulut Encik Farid suatu masa dulu. Salleh waktu itu ada bersama. Aku masih ingat ketika itu kami sedang membuat raptai program Maulud.

Ketika itu aku tidak dapat meyakinkan diriku sama ada dia bersungguh-sungguh atau bergurau. Kalau dia bersungguh-sungguh pun, aku tidak boleh menerima tawarannya itu. Pasti kami akan menjadi tajuk perbincangan satu jabatan yang besar itu. Malah boleh melarat ke institusi-institusi lain. Aku khuatir aku akan menjadi tajuk perbualan di sana sini. Encik Farid agak terkenal di daerah ini.

Aku pergi ke meja tulis di bilik itu. Dari beberapa album yang ada, kuambil sebuah yang menyimpan gambar-gambar persatuan termasuk aktiviti kami yang terkini, yang lebih merapatkan kami.

Memang selama ini perhubungan kami terhad kepada persahabatan yang tulus. Bukan antara kami saja, tetapi dengan semua ahli-ahli apatah lagi apabila mementaskan sesuatu berbentuk dakwah.

Pandanganku pada gambar itu tertumpu kepada En.Farid saja. Terasa seperti dia ada bersamaku dan persis terdengar gurauannya mengusik Haji Ibrahim, antara tokoh agama yang terlibat dalam persembahan kami itu. Memang Encik Farid periang dan kehadirannya membawa keceriahan dalam kepenatan beraptai..

Aku tidak boleh mendustai diriku sendiri. Aku memang menyayanginya. Cuma aku yang tidak menyelongkar perasaanku itu selama ini. Aku tidak pernah mengalami apa yang kurasakan sekarang. Namun ia bukan sesuatu yang luar biasa. Ini fitrah. Engkaulah Tuhan yang menempatkan perasaan ini ke dalam hatiku.

Dicatatkan pada 02:48 pm oleh ABM Fajeer
Mahu Komen?  

Tuesday, January 09, 2007
Kenapa @Ziarah

Kenapa@Ziarah

(sajak tanpa fikir)

dari bangkit awal itu
kubudayakan ziarah
ia mewujudkan cinta
apabila kata-kata
dalam tajam ada penawar

apakah dunia kita
seperti dunia yang di luar
dikuasai kegegasan
membina masa depan
sama ada itu
harapan sebenar
atau pengisian
pelarian yang kabur

inilah kita sesekali
mengerti makna rasa
dalam paduan berkala
ada ilai tawa
berhati-hati tergores rasa
sudah dua puluh lima
kita belum saling kenal.

hakikatnya itulah
dalam bergenggam kita rindu
ketika bubar kita lupa

maaf. jika aku kasar.


Warisan, Sandakan.

Dicatatkan pada 02:17 pm oleh ABM Fajeer
Mahu Komen?  

Tuesday, February 14, 2006
CORAT CORET PERJALANAN

                              
                           
                                1.     CERITA HATI
 
                                        sekembali nanti
                                        jika aku gagal
                                        melunaskan suara hati
                                        gunung-gunung batu
                                        yang istimewa kerasnya
                                        lebih baik daripada
                                        seketul darah
                                        yang bersuara itu!
 
 
                                2.    SEBATANG TIANG DI MASJID KUCING
 
                                       sebatang tiang di Masjid Kucing
                                       kusandarkan tubuhku
                                       kusandarkan doaku
 
                                       sebatang tiang di Masjid Kucing
                                       mengutip air mataku
                                       mengutip ikrar janjiku
 
                                        sebatang tiang di Masjid Kucing
                                        merakam tilawahku
                                        merakam gementar jantungku
 
                                        sebatang tiang di Masjid Kucing
                                        tegaklah berdiri di sanubari
                                        sehingga aku dipanggil kembali
 
 
 
                                3.    JIKA KUPADATKAN
 
                                        jika kupadatkan
                                        kisah-kisah perjalanan ini
                                        cuma robekan-robekan hati
                                        jejari kesedaran
                                        dan hanya bisikan-bisikan janji
                                        fikir yang  matang
 
                                        jika kupadatkan
                                        kisah-kisah perjalanan ini
                                        aku hanya hamba yang daif
                                        sezaman terapung di lautan kelam
 
 
 
                                4.    TARIKH LUPUT
 
                                      di luar pintu toko
                                      nanie menyarungkan jariku
                                      cincin berkilau 20 rial
 
                                      mentari memancari tanganku
                                      terpamer garis-garis usia
                                      berderet di atas kulit
                                      mengingatkan aku lagi
                                      tarikh luput yang hampir
 
 
                                5.    MALAM
 
                                       di mana-mana juga ada malam
                                       yang bulat yang membujur
                                       yang tiris yang ketumpahan
 
                                       cuma di sini belum kulihat
                                       gelap kelam mengharu biru
                                       bulu tengkok dan titis peluh
 
                                       dalam menanti pusingan waktu
                                       ada menyedut manis malam
                                       seteguk, seteguk, ditapis halkum
                                       ilai tersasul bicara tersasar
                                       bukan malam mendosakan insan
 
                                        ah, di sini juga ada malam!
 
 
 
                                6.    KEPADA RAKAN-RAKAN
 
                                        telah kuhimpun doa
                                        kucerakin segala kata
 
                                        kembali ini seorang hartawan
                                        kaya rasa kaya jiwa
 
                                        jika itu kain putih
                                        putihlah selama-lama
 
                                   
                                        ABM FAJEEER,
                                        Warisan, Sandakan
                           
 
                                       
                                       

Dicatatkan pada 12:06 am oleh ABM Fajeer
Komen (1)  

Next Page